Majlis Pecah Tanah MABA Suitez @ KL City Centre

Nov 30, 2025

Ucapan Rasmi Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Dato’ Seri Lee Tian Hock

Hari ini, dengan penuh rasa syukur dan keterujaan, kita berhimpun untuk menyaksikan satu detikbersejarah —
Majlis Pecah Tanah MABA Suitez @ KL City Centre.

Upacara ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan langkah penting untuk mengukuhkan asas pembangunan mampan serta hala tuju baharu bola keranjang negara.

Dan ketika kita melangkah menuju masa depan yang lebih gemilang, kita tidak boleh sesekalimelupakan asas yang telah dibina oleh para pemimpin terdahulu. Segala pencapaian hari iniberakar daripada pengorbanan, ketabahan dan visi jauh mereka yang datang sebelum kita.

Kita masih mengingati dan menghormati jasa Presiden kedua MABA, mendiang Tan Sri Khaw Kai Boh, seorang pemimpin yang benar-benar berpandangan jauh. Walaupun ketika itu sumber kewangan sangat terhad, beliau tetap berani membuat keputusan bersejarah — membina Wisma MABA setinggi 12 tingkat.

Projek ini dimulakan pada tahun 1969 dan siap pada tahun 1971. Kejayaan ini menjadikan MABA sebuah persatuan yang sangat istimewa, kerana merupakan antara segelintir persatuan bola keranjang kebangsaan di dunia yang memiliki bangunan sendiri. Pencapaian ini turut mengangkat nama MABA ke persada antarabangsa.

Kita juga mengenang dan menghargai jasa mendiang Encik Lum Mun Chak serta mendiang Dato’ Yeoh Choo Hock, yang kedua-duanya pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat FIBA Asia. Berkat usaha, dedikasi dan jaringan hubungan mereka, Wisma MABA akhirnya terpilih sebagai ibu pejabat FIBA Asia. Pencapaian ini secara langsung meletakkan Malaysia pada kedudukan yang amat dihormati dalam arena bola keranjang Asia.

Hari ini, turut hadir bersama kita ialah Dato’ Loke Yuen Yow JP, yang telah memimpin MABA selama 18 tahun. Di bawah kepimpinannya, satu lagi misi besar berjaya direalisasikan – memulakan semula pembinaan Stadium MABA pada tahun 1993 dan disiapkan pada tahun 1995.

Stadium ini kekal sebagai simbol kemajuan bola keranjang di ibu kota. Kita juga tidak boleh melupakan usaha gigih Tan Sri Tan Beng Tong dan Encik Lim Yew Jin,yang masing-masing berjaya mengumpulkan lebih RM2 juta untuk menjayakan projek ini. Bakidana yang masih tidak mencukupi kemudiannya telah berjaya dikumpulkan oleh Dato’ Loke Yuen Yow JP sehingga projek tersebut dapat disempurnakan.

Namun selepas stadium siap, timbul satu masalah kritikal: lesen operasi tidak dapat dikeluarkan kerana ketiadaan tempat letak kereta. Pada ketika inilah, Encik Lim Yew Jin sekali lagi tampil membantu — membina tempat letak kereta, menambah asrama pemain serta membina gelanggang berbumbung. Usaha inilah yang akhirnya menjadi asas kepada penubuhan Akademi Bola Keranjang MABA.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan tertinggi kepada semua bekas Presiden MABA:

mendiang Encik Quek Kai Dong,

mendiang Tan Sri Lee San Choon,

mendiang Tan Sri Chan Ah Chye,

mendiang Tan Sri Lee Kim Sai,

serta Dato’ Seri Tiong King Sing JP, Dato’ Lua Choon Hann dan Datuk Wira Tan Kang Yong JP.

Sejak era penubuhan, setiap pemimpin telah menjadi tunggak penting yang membina landasan kukuh bagi organisasi ini. Tanpa asas yang mereka dirikan, mustahil kita dapat berdiri seteguh hari ini.

Kini, kita berada di detik bersejarah untuk melonjakkan bola keranjang negara ke tahap yang lebih tinggi. Inilah masa terbaik untuk kita melaksanakan projek “Meneruskan Warisan, Membuka Masa Depan”. Sejak saya memegang jawatan Presiden pada tahun 2022, salah satu daripada Lima Pelan Utama Pemerkasaan Bola Keranjang ialah Pembangunan SemulaWisma MABA. Tanah ini bukan sekadar menyimpan kenangan, tetapi kini diberi nafas baharu untuk menyemarakkan obor kegemilangan pada masa depan.

Wisma MABA yang telah berkhidmat lebih setengah abad kini menghadapi masalah struktur yang serius, manakala Stadium MABA pula dibelenggu isu kebocoran bumbung dan sistem hawa dingin yang sudah usang. Kita semua sedar – kita tidak boleh sekadar merindui kegemilangan lampau, sebaliknya wajib berani membina legasi baharu.

Melalui projek ini, MABA akan berjaya mewujudkan aset kewangan jangka panjang.Hasilnya, kita akan ada sumber pendapatan yang stabil. Barulah impian kita untuk melihatMABA berdikari dari segi kewangan dapat direalisasikan.

Dana ialah nadi pembangunan sukan. Kita perlu mengubah cara berfikir — daripada sekadar “pemimpi” kepada “pemberani” yang mampu mencipta sumber pendapatan sendiri. Matlamat akhir kita jelas: menjadi organisasi yang berdikari dan tidak lagi bergantung kepada derma.


Saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli gabungan MABA atas sokongan yang diberikan terhadap rancangan pembangunan semula ini pada Mesyuarat Agung. Sokongan ini membolehkan MABA keluar daripada kebergantungan kepada model kewangan tradisional dan memaksimumkan nilai aset kita. Inilah langkah inovasi sebenar demi masa depan bola keranjang Malaysia.

Izinkan saya menggambarkan masa depan MABA Suitez:

• Terletak di atas tanah seluas 1.3 ekar di pusat Kuala Lumpur, bersebelahan dengan Merdeka 118, dengan akses yang mudah ke sekolah serta stesen MRT, LRT dan Monorail.

• Dua menara berkembar setinggi kira-kira 60 tingkat yang menempatkan lebih 1,000 unit kediaman servis berkualiti tinggi.

• Ibu pejabat baharu MABA seluas 3,000 kaki persegi, lengkap dengan gelanggang khusus 3×3 — sebagai simbol penghormatan kepada sejarah kita serta komitmen terhadap pembangunan masa depan.

Projek bernilai RM800 juta ini dijangka memberikan pulangan sekurang-kurangnya RM170 juta kepada MABA. Daripada jumlah tersebut, RM120 juta akan digunakan untuk membeli semula unit-unit kediaman untuk disewakan, yang dijangka menjana kira-kira RM6 juta setahun.


Dengan sumber pendapatan yang stabil ini, kepimpinan masa depan boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan sukan — tanpa beban kewangan. Hari ini, kita meletakkan asas kepada impian besar ini. MABA Suitez dijangka siap pada tahun 2031 — bukan sahaja menandakan pencapaian penting dalam Lima Pelan Utama Pemerkasaan Bola Keranjang, tetapi juga menjadi mercu tanda era baharu MABA yang berdikari, berdaya saing dan mampan.

Saya ingin merakamkan penghargaan istimewa kepada rakan pembangunan bersama kami, EXSIM, dan kepada Encik Lim Aik Kiat. Dengan kepakaran, sokongan dan kepercayaan penuh EXSIM, projek besar ini dapat direalisasikan. Inilah asas kukuh untuk masa depan bola keranjang Malaysia.

Bola keranjang bukan sekadar sukan; ia adalah semangat berpasukan, ketabahan dan peluang tanpa batasan. MABA telah melahirkan ramai pemain dan jurulatih berbakat, dan akan terus memainkan peranan sebagai pusat pembangunan budaya bola keranjang serta generasi masa depan.

Para tetamu sekalian, majlis pecah tanah hari ini bukan sahaja menandakan permulaan MABA Suitez, tetapi juga pembukaan bab baharu pembangunan bola keranjang Malaysia.

Upacara doa hari ini turut menampilkan tradisi Melayu, Cina dan India. Ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen MABA untuk menjadi sebuah organisasi yang benar benar inklusif.

Kita mahu menghapuskan persepsi bahawa bola keranjang hanya milik satu kaum, dan mengangkatnya sebagai sukan untuk semua rakyat Malaysia. Dalam kepelbagaian, kita menjadi lebih kukuh; dalam kebersamaan, kita melangkah lebih jauh.

Semoga iltizam, komitmen dan segala yang kita usahakan pada hari ini akan membuahkan kejayaan pada masa hadapan.

Terima kasih.

You May Also Like

大马篮总总会长拿督斯里李典和东运会授旗礼致辞

大马篮总总会长拿督斯里李典和东运会授旗礼致辞

今天的授旗礼,不只是一个仪式,而是意味着我们的国家队将踏上这两年来最重要的舞台。今晚聚集在这里的你们,是全国最出色、最值得信赖的球员。你们不只对自己负责,更承载着国家的希望与荣耀。你们的每一次进攻、每一次防守,都将代表马来西亚在赛场上的力量与精神。 本届东运会,我们已在国家体育理事会和大马奥运理事会面前定下明确的目标: 男子 3x3 —— 冲击银牌 男、女 5on5 —— 力争铜牌 女子 3x3 —— 放眼前四 这些目标不是压力,而是对你们实力的证明,是展示大马篮球水平的绝佳机会。 我们从历史中汲取力量。2015 年和 2017...

read more

MABA Suitez @ KL City Centre Groundbreaking Ceremony

Official Address by the President of the Malaysia Basketball Association (MABA), Dato’ Seri Lee Tian Hock Today, with deep gratitude and great excitement, we gather to witness a historic moment—the groundbreaking ceremony for MABA Suitez @ KL City Centre. This is more...

read more